Masjid Negara, mercu tanda Kuala Lumpur...
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah orang yang bertanggungjawab melahirkan ilham membina Masjid Negara. Tunku jugalah orangnya yang memilih lokasinya yang ada sekarang dengan hasrat untuk memudahkan orang kampung bersembahyang setelah sampai di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Wawasan membina sebuah masjid rasmi negara timbul sebulan sebelum kemerdekaan. Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan memutuskan untuk mengabadikan masjid ini dengan nama Tunku sebagai hadiah dari rakyat kepadanya di atas jasanya memerdekakan bangsa dan negara.
Cadangan ini seterusnya mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu. Walau bagaimanapun Tunku menolak hasrat tersebut lantas mengesyorkan agar ia diberikan nama Masjid Negara sahaja. Maka terpahatlah nama Masjid Negara, sebagai salah satu institusi terpenting negara dalam mengharumkan syiar Islamiah.
Keunikan Masjid Negara terletak pada reka bentuknya. Sebelum ia dibina, kebanyakan masjid di negara ini dibina dengan stail seni bina Moor yang beridentitikan kubah bulat, berpintu gerbang melengkung dan berbatu-bata merah. Namun Masjid Negara telah menampilkan stail seni bina yang bersifat alternatif, yang kaya dengan unsur abstrak dan simplistik.
Arkitek yang mereka bentuknya ialah Baharuddin Abu Kassim dari Jabatan Kerja Raya (JKR) yang meskipun misinya mencari bentuk Masjid Negara membawanya ke banyak negara seperti Turki, Sepanyol, Iran, Pakistan, Mesir dan beberapa negara di Timur Tengah, akhirnya beliau mengambil keputusan mereka bentuk Masjid Negara dengan citra rasanya sendiri. Kontraktor yang mendapatkan kontrak membinanya ialah Lim Chong Syarikat Pembinaan Berhad.

Baharuddin Abu Kassim,
Arkitek yang mereka bentuk Masjid Negara...

Pembinaan Masjid Negara dimulakan dengan peletakan batu asas yang diserikan oleh Yang di-Pertuan Agung pada 27 Februari 1963. Sebuah jawatankuasa induk yang diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri telah ditubuhkan untuk memastikan segala aspek projek ini berjalan lancar.

Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong
meletakkan batu asas Masjid Negara pada 27 Februari 1963...
Pada 27 September 1961 Tunku Abdul Rahman telah merasmikan upacara penetapan kiblat. Keseluruhan perbelanjaan pembinaannya memakan RM10 juta dan dibina di atas tanah seluas 33 ekar. Selain dari peruntukan kewangan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan Brunei menderma RM25,000, Yayasan Shaw RM26,000, lebih seribu orang menderma RM1,000 seorang dan yang paling banyak adalah Senator J.S. Crawford yang mendermakan RM250 setiap bulan sehingga ia siap sepenuhnya, sejak kempen pembinaan masjid dimulakan.

 
Masjid ini dirasmikan pada 27 Ogos 1965 oleh Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan. Menyentuh kembali aspek reka bentuknya, masjid ini terdiri daripada sebuah menara setinggi 245 kaki dari paras laut yang bumbungnya menyerupai payung yang kuncup. Dewan sembahyang pula menggambarkan sekaki payung yang kembang.

Payung-payung ini melambangkan Raja-Raja Melayu. Kerusi imam yang direka khas dan bersalut perak berukir timbul dihadiahkan oleh kerajaan India. Pada setiap hari Jumaat, Masjid Negara menjadi tumpuan warga kota untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Suasana umat Islam berduyun-duyun membanjiri masjid sehingga boleh memuatkan 18,000 jemaah jelas mempamerkan betapa sibuknya suasana di Masjid Negara. Ini ditambah pula dengan kemeriahan golongan peniaga menjual pelbagai makanan dan barangan di tepi kawasan masjid persis suasana di pasar malam.
Menyentuh tentang sembahyang Jumaat, ada pendapat yang mengatakan bahawa sembahyang Jumaat di masjid ini tidak sah kerana tidak ada 40 orang yang bermastautin di sekitarnya untuk menjadikan sah berjemaah. Bagaimanapun Imam Besar Masjid Negara, Haji Taib Azamudden Mohd. Taib (ketika itu) menjawab, "Kalau berdasarkan fatwa Masjid Negara khairiahnya seluruh negara, jadi perkara ini tidak timbul.
"Kalau tidak khairiah negara pun satu pandangan yang boleh diambil kira untuk sah Jumaat mengikut As-Syafie ialah bermukim mustamin, iaitu orang duduk di situ agak lama walaupun ia tidak bermastautin... termasuklah yang bekerja di situ. Lagipun di sekitar Masjid Negara ada kuarters Polis Bukit Aman dan mereka sendiri pun melebihi 40 orang, jadi tidak ada masalah dari segi sah Jumaat," jelas Imam Besar itu yang telah menjawat jawatannya selama empat tahun.
Dari segi tanggungjawab ilmu, Masjid Negara memainkan peranan yang penting dalam mengisi ilmu keagamaan di dada para muslimin dan muslimat menerusi pelbagai jenis kursus. Pada setiap hari dari pagi ke tengah hari, kelas Tadika dan sekolah rendah agama diadakan. Pada sebelah petang diadakan kelas bahasa Arab dan pada malam-malamnya, terutamanya pada malam Jumaat diadakan kelas fardu Ain. Begitu juga pada petang Sabtu.
Masjid Negara juga mengadakan program-program khusus seperti kem remaja, pertandingan tilawah al-Quran, ekspo, di samping menyewakan dewan kuliahnya untuk aktiviti pihak swasta. Di sana juga terdapat sebuah perpustakaan. Pendek kata, Masjid Negara mempunyai banyak kemudahan di samping sentiasa mengisi jadualnya dengan pelbagai aktiviti dari penerapan ilmu agama, pendidikan hinggalah keusahawanan.

  Makam Pahlawan...
Di Masjid Negara juga terletaknya Makam Pahlawan yang menyediakan tapak kubur untuk tujuh perwira negara. Setakat ini empat jenazah telah dikebumikan di situ iaitu Tun Dr. Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia (meninggal dunia pada tahun 1973), Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-2, (meninggal dunia pada tahun 1976), Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke 3, (meninggal dunia pada tahun 1990) dan Tun Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri Malaysia (meninggal dunia pada tahun 2006).

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, orang yang mengilhamkan pembinaan Masjid Negara yang meninggal dunia pada 6 Disember 1990 dalam usia 87 tahun tidak dimakamkan di sini tetapi sebaliknya disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.
Selain dari Makam Pahlawan, terdapat juga sebuah makam lain di kawasan berumput berhampiran dengannya. Makam itu bersemadinya bekas-bekas tokoh Negara seperti berikut : -

 Makam di luar kubah... Tan Sri Syed Jaafar Albar – Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Pembangunan Luar Bandar (meninggal dunia pada tahun 1977) Tan Sri Syed Nasir Syed Ismail – Speaker Dewan Rakyat (meninggal dunia pada tahun 1982) Tun Sardon Jubir – Menteri Perhubungan dan Kerja Raya dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (meninggal dunia pada tahun 1985) Tan Sri Noah Omar – Menteri Dalam Negeri dan Speaker Dewan Rakyat (meninggal dunia pada tahun 1991) Tan Sri Abdul Kadir Yusuf – Menteri Undang-undang, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara (meninggal dunia pada tahun 1992) Tan Sri Mohd Khir Johari – Menteri Pendidikan (meninggal dunia pada tahun 2006) Tun Dr. Fatimah Hashim – Menteri Kebajikan Masyarakat (meninggal dunia pada tahun 2010) Tun Ghazali Shafie – Menteri Luar (meninggal dunia pada tahun 2010) Tun Omar Ong Yoke Lin – Yang di-Pertua Dewan Negara (meninggal dunia pada tahun 2010) Jeneral (B) Tun Ibrahim bin Ismail – Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (meninggal dunia pada 23 Disember 2010) Masjid Negara telah mengalami beberapa pengubahsuaian bertujuan untuk menampung jemaah warga kota yang semakin bertambah setiap tahun. Sejak siap dibina, Masjid Negara merupakan mercu tanda Kuala Lumpur yang sentiasa menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia.
Hit: 11 Laman Asal