BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 11, 2014

JIWA SANG PENULIS

Assalamualaikum dan salam muhibbah buat semua pencetus ummah sekalian.



PENDAHULUAN


Sepanjang menelusuri era teknologi ini, amalan membaca semakin berkurangan dan semakin tenggelam dengan ribuan alat dan sistem teknologi yang semakin gah membangun. Buku - buku cerita, buku ilmiah, keratan akhbar tentang pendidikan semakin ditolak tepi dari pelbagai lapis umur masyarakat. Yang masih segar hanyalah novel cinta, majalah gosip, komik anime serta akhbar yang
mengandungi isu - isu politik dan sukan.

Malah, melawat perpustakaan juga seolah - olah semakin hilang dalam aktiviti kehidupan pelajar. Satu masa dahulu, para pelajar giat berkunjung ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan bacaan ilmiah untuk rujukan, tetapi kini, kebanyakan perpustakaan di sebahagian besar sekolah - sekolah di Malaysia dijadikan 'kedai kopi' bagi para pelajar apabila medan ilmiah itu dijadikan tempat untuk melepak. Walaubagaimanapun, masih ada lagi yang memanfaatkan kemudahan perpustakaan sekolah ini dengan tujuan yang baik. Semoga amalan itu terus berkekalan dan tidak seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja.

PENGENALAN


Dalam dunia yang penuh dengan ujian ini, semakin hari semakin banyak laman sosial yang telah diwujudkan. Boleh dikatakan, setiap manusia mempunyai akaun Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan sebagainya. Dunia semakin mudah. Tidak seperti dahulu kala, kini manusia mampu mendapatkan maklumat dan isu - isu semasa dalam laman sosial yang dinyatakan diatas.Segala gosip tentang artis tempatan mahupun luar sudah dapat diketahui dengan sekali klik pada page Facebook yang memuat naik status tentang gosip.

KEYBOARD WARRIOR


Jika kita perasan akan perubahan demi perubahan yang berlaku dalam dunia maya, isu “keyboard warrior” sangat hebat menular dalam kalangan pengguna alam maya kini.
Mentaliti pengguna media sosial terhadap perkara ini mudah.
Andai dapat melontarkan pandangan tanpa mengeluarkan suara, maka itu adalah lebih baik berbanding mencabar diri untuk berdiri di hadapan khalayak ramai lalu berhujah menegakkan pendirian sendiri.
Jujurnya, saya begitu sukakan keyboard warrior ini. Namun tidak semua.
Walaupun kegiatan ini mampu mengasah bakat serta minat dalam bidang penulisan, tetapi sekiranya ia bertunjangkan emosi yang tidak stabil, perasaan ego yang meluap-luap, maka penulisan serta pendapat yang diutarakan akan kelihatan jijik dan tidak matang.
Inilah kelemahan utama yang ada pada diri pejuang-pejuang papan kekunci ini. Cukup menyedihkan apabila bakat yang hebat ini tidak terarah dengan pendekatan yang betul dan pengawalan emosi yang seimbang.
 Semuanya ingin menjadi bijak! Semuanya ingin dilihat hebat! Semuanya ingin mempertahankan ego sendiri!
Lalu, siapa pula yang mahu bertolak ansur? Siapa pula yang ingin meencipta kata putus dan mengakar diskusi serta perbincangan pendapat yang baik?
Bukannya hendak menuding jari menyatakan dia yang salah dan saya yang betul. Namun saya lebih tertarik untuk memperbetulkan persepsi kita semua bahawa pahlawan papan kekunci juga tidak semuanya suka bertindak melulu.
Ada yang berhujah setelah memperoleh fakta yang benar serta membuat rujukan terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan.
Namun, apabila muncul pahlawan ego yang hanya ingin menonjolkan kepandaiannya serta tidak mahu mengalah tanpa mempunyai ilmu yang cukup terhadap perkara yang sedang hangat dibincangkan, maka hukuman terhadap keyboard warrior ini dijatuhkan kepada semuanya sekali.

KESIMPULAN


Ikatlah ilmu dengan bacaan serta tulisan. Inilah anjuran daripada Nabi Muhammad saw. Alangkah ruginya sekiranya ilmu yang diperolehi tidak ditulis dan dikongsikan kepada semua.
Tidak semua daripada kita mempunyai hafalan yang begitu baik dan mantap. Hatta sahabat-sahabat baginda juga tetap tegar menulis walaupun ilmu mereka sudah penuh di dada serta tersemat kemas di dalam ingatan.
Semaikan sikap suka menulis dan membaca.
Jika bukan untuk kebaikan anda, mungkin untuk kebaikan orang disekeliling anda lalu ia pastinya akan berbalik semula kepada anda dengan peringatan yang telah ditulis. Semakin unik kalam berbicara, semakin tertarik hati pembaca.
Moga istiqamah!

0 comments: